SEBUT sahaja nama Cristiano Ronaldo, sesiapa sahaja pasti akan mengenali penyerang utama kelab Real Madrid dan kapten Portugal ini.

Dia bukan sahaja terkenal dengan kelincahannya di atas padang, tetapi wajah kacak serta susuk badannya yang menarik menjadi kegilaan peminat bola sepak.

Namun, persembahan yang ditonjolkan Real Madrid sejak akhir ini dilihat kurang memberangsangkan, di mana pasukan itu kini berada pada kedudukan keempat La Liga dan ketinggalan 19 mata di bawah Barcelona.

Cristiano Ronaldo juga dikhabarkan tidak menolak kemungkinan untuk berpindah semula ke kelab lamanya, Manchester United.

Pelbagai persoalan timbul apabila Ahad lepas, sebuah video yang menyaksikan Cristiano Ronaldo bermain 'American football' tular di media sosial.

Bagaimanapun video itu hanyalah satu gimik daripada syarikat Altice One, bagi mempromosikan Super Bowl LII.

Dalam iklan tersebut, Ronaldo dilihat memakai jersi nombor 7 beserta topi keselamatan yang sering dipakai oleh pemain 'American football'.

Apa yang lucunya, Ronaldo telah menanduk bola yang dilontar kepadanya melewati palang sedangkan dia sepatutnya membawa bola tersebut dengan tangan ke garisan akhir.

Dia tidak sedar cara itu adalah salah dan pengadil bertindak membatalkan 'gol' tersebut.

Kerjasama Ronaldo dengan sukan 'American football' ini bukanlah yang pertama kali untuknya.

Pada tahun 2014, dia bersama skuad Portugal Piala Dunia diberi peluang untuk berlatih di padang milik New York Jets.