Sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal dapatkan pemain dari persatuan-persatuan bola sepak negeri, adalah lebih baik jangan sertai kejohanan peringkat antarabangsa, tegas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Syed Saddiq berkata, jika FAM ingin menyertai kejohanan tersebut, ia perlu lebih tegas dalam memastikan skuad kebangsaan dibarisi pemain-pemain yang diperlukan.

“Saya difahamkan isu ini adalah isu lama yang sentiasa berulang setiap kali FAM dipilih bagi menghadapi kejohanan-kejohanan utama bukan sahaja bagi kejohanan bola sepak malah kejohanan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Sekiranya persefahaman ini tidak berlaku, lebih baik FAM sedari awal lagi jangan menawarkan diri untuk menyertai kejohanan-kejohanan tersebut, apatah lagi pasukan bola sepak kita juga, saya turut difahamkan, seringkali dipertikaikan pemilihan mereka untuk menyertai kejohanan tersebut dalam keadaan ranking kita yang jauh ketinggalan ketika ini,” kata Ahli Parlimen Muar itu.


Semalam, media melaporkan jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) Datuk Ong Kim Swee menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pemain bagi menghadapi Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta-Palembang.

Ong berkata, sekiranya persatuan bola sepak negeri masih gagal beri kerjasama, impak yang dihadapi beliau amat tinggi, termasuk kemungkinan besar untuk menarik diri dari kejohanan itu.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau sedia maklum perkara ini sering berulang setiap kali FAM dipilih
bagi menghadapi kejohanan utama peringkat antarabangsa.

Tegasnya lagi, FAM perlu menyelesaikan isu dalaman mereka dengan sendiri dan jangan membabitkan kepentingan negara dalam kemelut ini kerana semua atlet termasuk pemain-pemain bola sepak mempunyai tanggungjawab kepada negara.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada persatuan-persatuan bola sepak negeri bahawa rakyat Malaysia khususnya ibu bapa dan pihak Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan telah membuat pelaburan yang besar dalam membentuk para pemain ini sehingga mereka berjaya menjadi pemain yang baik dan dipilih mewakili negeri-negeri.

“Justeru, para pemain terbabit mempunyai tanggungjawab mereka kepada setiap daripada mereka yang telah terlibat dalam membentuk mereka menjadi pemain bola sepak yang hebat hari ini,” katanya lagi.

Syed Saddiq berkata, sekiranya tiada sebarang perkembangan positif, beliau sendiri akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian terbaik.