Jaguh tenis wanita nombor satu dunia, Serena Williams dijangka bakal berdepan saingan sengit dengan atlit-atlit sukan wanita ternama dunia termasuk ratu skuasy negara, Nicol Ann David dalam merebut Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014.

Pemenang Grand Slam Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat tahun lalu itu sekali lagi tercalon untuk merebut anugerah tersebut buat kali keempat selepas memenanginya pada tahun 2003, 2007 dan 2010.

Menurut lagenda tenis Martina Navratilova, antara atlit-atlit lain yang turut bertanding untuk anugerah tersebut adalah wanita terpantas dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik London 2012, Shelly-Ann Fraser-Pryce, perenang sensasi remaja, Missy Franklin dan Kate Ledecky, pemegang rekod ski dunia, Tina Maze dan jaguh skuasy negara yang juga pemenang kejohanan dunia sebanyak tujuh kali, Nicol Ann David.

“Sekali lagi Serena Williams telah melalui tahun yang hebat. Saya tidak terfikir beberapa tahun yang lalu bahawa beliau akan mengatasi saya dengan kejuaraan perseorangan Grand Slam, namun tumpuan beliau begitu jitu dan bertenaga, entahlah berapa lagi gelaran yang beliau akan pungut selepas ini. Beliau mungkin mampu mencipta sejarah baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya lagi, sepatutnya lebih sukar untuk beliau (Serena) memenangi Slam kerana beliau semakin berusia, namun kemenangan Serena kelihatan seperti begitu mudah.

“Namun, beliau sememangnya telah mendahului dalam pertandingan ini,”.

"Tiada had bagi beliau dalam tenis, namun begitu Serena menghadapi persaingan sengit tahun ini bagi Anugerah Laureus keempat beliau. Terdapat beberapa persembahan yang menarik dalam berbagai-bagai sukan, terutamanya daripada beberapa atlet muda seperti Missy Franklin dan Kate Ledecky, dan sudah tentu juara besar dalam sukan mereka sendiri seperti Inbee Park, Shelly-Anne Fraser-Pryce dan Tirunesh Dibaba. Mereka semua sememangnya berpeluang untuk memenangi Anugerah tahun ini, namun, saya yakin Serena akan menang."

Martina turut mengulas keupayaan ratu skuasy negara, Nicol Ann David yang dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi anugerah tersebut.

“Nicol dari Malaysia telah mempamerkan penguasaan skuasy wanita sepenuhnya pada tahun lalu. Kemenangannya di kejohanan Terbuka Hong Kong pada Disember lalu merupakan gelaran keenam Jelajah Dunia tahun ini, termasuk Terbuka China dan Terbuka Amerika Syarikat. Ia juga merupakan kemenangan kerjaya Jelajah Dunia ke-71 beliau dan penampilan terakhirnya menyamai rekod ke-90 dalam acara Jelajah Dunia,” katanya lagi.

Untuk rekod, Nicol telah menduduki kedudukan nombor satu dunia sejak Ogos 2006 dan telah memenangi Kejohanan Skuasy Dunia sebanyak tujuh kali yang juga merupakan satu rekod.

Anugerah Sukan Dunia Laureus, kini menyambut tahun ke-15, dan diiktiraf sebagai acara kehormat terulung dalam kalendar sukan antarabangsa.

Pemenang akan diumumkan pada akhir bulan ini dan pemenang akan diumumkan di Majlis Kemuncak Anugerah tersebut di Kuala Lumpur pada 26 Mac.