Alvaro Morata berasakan dia seperti "meninggalkan rumahnya" selepas menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea dari Real Madrid dengan rekod perpindahan bernilai GBP78 juta (RM434 juta).

Morata menjaringkan 15 gol dalam saingan LaLiga untuk membantu Madrid menjuarai LaLiga tetapi dia hanya tampil dalam kesebelasan utama sebanyak 14 kali.

Morata sebelum ini telah beraksi bersama Juventus selama dua musim sebelum kembali ke Madrid bagi musim 2016-17.

Walaupun Morata menegaskan dia yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke Stamford Bridge, pemain berusia 24 tahun itu mengakui ia merupakan satu keputusan yang sukar untuk meninggalkan Sepanyol.

"Hari ini, fasa baru dalam karier saya bermula. Saya pasti terdapat beberapa pihak yang tidak akan memahami keputusan saya dan ada yang tidak menyokong saya," kata Morata.

"Saya meninggalkan rumah saya. Saya sangat berbangga kerana dapat berkhidmat untuk Madrid. Kejayaan musim lalu adalah sesuatu yang tidak akan dapat dilupakan, kami berjaya mempertahankan gelaran UCL dan menjuarai LaLiga."

Morata yakin dia telah berkembang menjadi pemain yang lebih baik sejak beberapa musim di bawah kendalian jurulatih yang berkualiti serta rakan sepasukan yang bertaraf dunia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Madrid. Pengalaman yang dimiliki membentuk gaya permainan saya. Saya mahu cuba memberikan yang terbaik dan mencipta nama di England."