SELEPAS pelbagai langkah diambil sebelum menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi jaminan tiada mana-mana atlet negara akan gagal dalam ujian doping.

Daripada 836 sampel yang diuji, iaitu satu pertiga jumlah keseluruhan atlet, satu kes doping disahkan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr S. S. Cheema.

Situasi itu mengundang kebimbangan terhdap kemungkinan ia melibatkan atlet negara, sekaligus boleh menjejaskan pungutan pingat yang diperoleh serta maruah selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, Shapawi optimis ia tidak akan membabitkan atlet negara yang telah melalui prosedur ketat sebelum beraksi dalam Sukan SEA.

"Kami telah melakukan pelbagai program pencegahan dengan penglibatan bersama ADAMAS (Agensi Anti-Doping Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) sendiri.

"Kami telah melakukan ujian dan program kesedaran bagi memberi peringatan kepada mereka. Kami yakin atlet-atlet kita tidak mungkin terlibat dengan kes doping. Insya-Allah ia tidak berlaku.

Shapawi ditemui dalam majlis ibadah korban MSN yang turut dihadiri atlet Paralimpik, Ziyad Zolkefli, dan pesilat, Faizul Nasir.

"Semasa saya tengah berlatih tadi, saya mendapat panggilan daripada ustaz mengatakan lembu saya akan disembelih. Jadi, saya bergegas datang ke sini untuk gotong-royong," kata Ziyad.

"Banyak kelebihan apabila kita menyertai ibadah korban ini. Sebelum Sukan SEA lagi, kami sudah berbincang dengan ustaz, kalau ada atlet yang berkemampuan bolehlah menyertai korban pada tahun ini," kata Faizul.