PEMAIN Switzerland, Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka, menghadapi tindakan disiplin daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas meraikan gol provokasi ketika menentang Serbia dalam Piala Dunia di Stadium Kaliningrad, awal pagi semalam.

Gandingan itu meledak dalam separuh masa kedua untuk membantu Switzerland meraih kemenangan 2-1 di Russia, tetapi cara mereka meraikan gol mencuri perhatian ramai pihak.

Shaqiri dan Xhaka meletakkan kedua-dua tangan bersama untuk membentuk helang berkepala dua, sama seperti yang terdapat di bendera Albania, mengancam untuk menimbulkan ketegangan politik di Balkan.

"Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah membuka prosiding tatatertib terhadap pemain Switzerland, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri, untuk keraian gol mereka semasa perlawanan Switzerland lwn Serbia," kata badan bola sepak dunia itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaqiri dan Xhaka mempunyai pertalian Kosovo, dilahirkan di negara yang dahulunya sebahagiannya daripada jajahan Republik Persekutuan Yugoslavia -- Montenegro dan Serbia pada masa itu -- dan Tentara Pembebasan Kosovo pada akhir 1990-an.

Walaupun diiktiraf oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Serbia enggan melihat Kosovo sebagai negara merdeka, sekaligus meneruskan hubungan tegang.

FIFA juga telah membuka prosiding terhadap Persatuan Bolasepak Serbia untuk "gangguan penyokong, berunsurkan politik dan tingkah laku oleh peminat Serbia".

Siasatan awal telah dibuka terhadap jurulatih Serbia, Mladen Krstajic, di atas tuduhan membuat kenyataan selepas perlawanan.