KEJOHANAN UFC Fight Night 148 yang berlangsung di Nashville, Tennessee pada Ahad, sekali lagi menyaksikan pertandingan dari divisyen welterweight bagi acara utama.

Pada perlawanan tersebut Anthony 'Showtime' Pettis membuat kejutan dengen menundukkan petarung 'favourite' yang menduduki ranking ketiga welterweight, Stephen 'Wonderboy' Thompson menerusi knockout pada pusingan kedua.

Untuk rekod, ini adalah perlawanan pertama Pettis, 32 tahun, dalam divisyen welterweight.

Dia sebelum ini bertarung bagi divisyen lightweight dan pernah menjuarai divisyen tersebut pada tahun 2013.

Ketika pertarungan, Thompson, 36, yang mempunyai kelebihan dari segi ketinggian dan jangkauan tangan dilihat mendominasi pusingan pertama.

Strategi Thompson mengawal jarak Pettis dengan tendangan dan tumbukan jab ternyata membuahkan hasil hingga mencederakan bahagian hidung Pettis.

Namun pada pusingan kedua, Thompson yang mengekalkan strategi yang sama, disentak oleh Pettis secara tiba-tiba dengan 'tumbukan Superman'.

Thompson kelihatan terkesan dengan tumbukan tersebut dan rebah ke kanvas Octagon.

Pettis meneruskan serangan dengan dua lagi tumbukan tangan kanan namun pengadil perlawanan Herb Dean pantas memintas bagi menamatkan pertarungan.

Pada acara 'co-main event' pula, ia menyaksikan petarungan bagi divisyen heavyweight.

Petarung yang menduduki tangga ke empat, Curtis Blaydes berjaya menewaskan lawannya, Justin Willis menerusi 'unanimous decision' (keputusan sebulat suara).

Blaydes yang mempunyi latar belakang gusti ternyata bijak mengawal perlawanan dengan beberapa 'take down' dan membawa pertarungan ke lantai.

Selepas tamat pusingan ketiga, ternyata Willis gagal menyaingi ketangkasan Blaydes dalam mengawal pertarungan.

Ia membuatkan kesemua juri perlawanan memilih Blaydes sebagai pemenang.