GAJI yang tinggi selain kemudahan latihan dan kepakaran yang ada di kelab bola sepak terbaik di Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan kunci kejayaan pasukan itu untuk lima musim berturut-turut.

Dengan baki satu perlawanan lagi musim ini, JDT mendahului pencabar terdekat, Perak di tempat kedua dengan 20 mata, yang tertinggi sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menswastakan Liga Super dibawah Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) pada 2004.

Sejak 2014, JDT mendominasi Liga Super namun muncul juara dengan hanya tiga mata dihadapan pencabar terdekat, Selangor dimana jurang itu meningkat kepada tujuh mata pada 2015 ke atas the Red Giants.

JDT terus gagal dicabar mana-mana pasukan yang melebarkan jurang kutipan 56 mata selaku juara pada 2016 meninggalkan Felda United 15 mata dibelakang.

Tahun lepas, Pahang memberi tentangan sengit kepada JDT namun gagal menyaingi skuad Harimau Selatan itu yang muncul juara dengan 49 mata, sembilan mata dihadapan Pahang.

Jadi pasukan mana yang benar-benar mampu bersaing JDT musim depan atau skuad Harimau Selatan itu akan terus mendominasi liga tempatan?

Soalan itu diajukan kepada Ketua Editor laman web Semuanya Bola, Ahmad Muzammil dalam rancangan Bual Bola terbitan Astro AWANI minggu lepas.


Muzammil berpendapat hanya Perak dan Pahang mempunyai bajet gaji yang paling hampir dengan JDT, yang dilaporkan sehingga RM50 juta setahun.

Jumlah tersebut adalah dua kali ganda daripada pasukan-pasukan lain yang bersaing dalam Liga Super dan mereka harus mencari alternatif selain mahu bersaing dengan kewangan yang ada pada JDT.

"Musim depan saya melihat Pahang dan Perak, dua pasukan yang mempunyai sumber yang cukup hampir untuk menandingi bajet gaji yang ditawarkan oleh JDT kepada pemain-pemain mereka setiap musim," kata Muzammil.

"Kalau kita tengok bajet RM50 juta yang diperuntukkan JDT, jauh boleh kata hampir dua kali ganda daripada bajet pasukan-pasukan besar seperti Kedah, Perak dan Pahang."

Kejayaan JDT mendahului jauh pesaing adalah hasil kelemahan pentadbiran dan taktikal pasukan lain menghadapi musim ini.

Bagi Muzammil, Pahang mampu memberi saingan musim ini namun gagal menyelesaikan perpindahan pemain dengan cepat pada awal musim dan bagi Perak, pertukaran taktikal pada pertengahan musim merpakan punca kegagalan skuad itu yang hanya stabil selepas pertengahan musim Liga Super.

Kedah pula menurut Muzammil terlalu mengikut ‘kemarahan’ penyokong, penukaran jurulatih dan keputusan dalam jawatankuasa eksekutif antara sebab skuad Lang Merah gagal bersaing musim ini.

Tambah Muzammil lagi, peminat bola sepak tempatan yang mahu pilihan lain selain JDT, perlu ada pasukan yang bangkit untuk bersaing.

Paling menarik untuk dinantikan adalah revolusi dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menyaksikan rombakan besar dilakukan dengan kemasukan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagi Presiden FAS dan lantikan Pengarah Projek liga komuniti Selangor Champions League (SCL) Dr. Johan Kamal Hamidon sebagai Setiausaha Agung FAS.

Apa yang berlaku pada skuad Selangor selepas perubahan itu tidak boleh dijadikan ukuran buat masa ini dan masa diperlukan untuk Selangor kembali bersaing dalam Liga Super.

Dengan baki satu lagi perlawanan untuk musim ini melabuhkan tirai, Selangor berada di tangga ke-10 liga, hanya enam mata dihadapan Negeri Sembilan yang sudahpun sah tersingkir ke Liga Perdana untuk tahun depan.