WALAUPUN menjaringkan satu gol untuk membantu Real Madrid mengatasi Arsenal, Gareth Bale akan tetap berhijrah.

Dalam perlawanan persahabatan pra-musim, International Champions Cup itu, Real ketinggalan 0-2 sebelum Bale yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan satu gol dalam babak kedua dan Marco Asensio menyamakan kedudukan.

Real kemudian mengatasi Arsenal 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti .

Namun, pengurus pasukan itu, Zinedine Zidane memberitahu tiada apa yang berubah kerana Bale akan tetap berhijrah ke kelab lain.

Zidane sebelum ini ada menyatakan bahawa Bale akan berhijrah ke kelab lain dalam masa terdekat dan ia merupakan keputusan yang terbaik buat kedua-dua belah pihak.

Bale dilaporkan akan ke Liga Super China selepas ditawarkan gaji £1 juta seminggu oleh kelab Beijing Guoan.

Bagaimanapun pemain antarabangsa Wales berusia 30 tahun itu juga dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.

Penghijrahan Bale ke China dianggap satu langkah ke belakang kerana dia masih mampu bersaing dalam kelab elit di Eropah.

Pintu perpindahan di China bakal ditutup pada 31 Julai dan pihak Bale perlu membuat keputusan dengan cepat.

Ke mana Bale akan pergi selepas ini?

Kongsikan pandangan anda di bawah.