Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus menggorak langkah dalam dunia permotoran menerusi penganjuran segmen baharu Siri Kejuaraan Malaysia e-sukan (e-MCS).

Program yang julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama RaceRoom Malaysia yang menyediakan kemudahan simulator kereta lumba bagi melatih pelumba memandu secara profesional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, tiga pemenang yang berjaya mengharungi lima siri perlumbaan yang berlangsung di ibu negara akan diserapkan dalam perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) sebagai pemandu profesional.

"Jika kita lihat pada tahun lepas, Formula One (F1) dan MotoGP turut bekerjasama dengan penggendali e-sukan. Penyertaan generasi muda dalam e-sukan sangat besar di Malaysia dan luar negara," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perlumbaan Nasional Malaysia Championship Series (MCS), Malaysia Superbike Championship (MSBK) dan Sepang 1000 km di sini, baru-baru ini.

Bagi e-MCS, 40 peserta yang berjaya melepasi ujian kelayakan akan merebut tempat tiga terbaik dalam lima pusingan yang akan diadakan di The Rift, Mid Valley, Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, penyertaan dalam e-sukan permotoran mampu membantu melahirkan bakat baharu dalam sukan lumba kereta secara kompetitif.

Bagaimanapun, pelumba yang dipilih untuk menggendalikan kereta lumba sebenar perlu lulus dalam penilaian fizikal dan kecergasan sebelum layak memandu secara profesional.

BACA LAGI: 'Impian ke MotoGP' pacu cita-cita pelumba tempatan menjadi jaguh dunia

Katanya lagi, menerusi penerokaan dalam dunia e-sukan ia turut membantu mendekati peminat sukan permotoran tempatan.

Saingan yang akan membuka tirai minggu hadapan bakal menyaksikan pelumba menggunakan kereta simulator yang mempunyai teknologi berasaskan perlumbaan realiti.