Kehadiran penonton yang melepasi sasaran awal pada hari perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia semalam, meyakinkan pihak promoter sukan permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) untuk mengekalkannya pada edisi yang akan datang.

"Saya memang tidak sangka lebih daripada 100,000 penonton datang pada hari perlumbaan.

"Ini menunjukkan kita mendapat sokongan padu rakyat Malaysia dan juga pelancong luar negara, khususnya peminat sukan permotoran," kata ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika ditemui pemberita di Litar Sepang, semalam.

Menurut statistik kehadiran penonton pada hari perlumbaan semalam sahaja mencecah 103,984 penonton, sementara pada sesi latihan bebas dan sesi kelayakan pada Jumaat dan Sabtu,masing-masing mencatat 24,476 dan 41,367 orang.

Kehadiran penonton pada hari perlumbaan (Ahad) itu mengatasi rekod penganjuran sebelum ini iaitu 97,457 orang pada tahun lepas dan 95,316 orang pada tahun 2016.

Sementara jumlah kehadiran penonton untuk tiga hari bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat untuk tahun ini ialah 169,827 orang berbanding 166,486 orang tahun lepas.

Pada tahun 2016, sejumlah 161,553 penonton direkodkan sepanjang tiga hari bermula dengan sesi latihan bebas.

"Seperti kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam buku program tahun ini, perlumbaan MotoGP adalah flagship untuk Malaysia kerana adanya pelumba Malaysia yang bertanding...sebab kita mendapat sokongan yang kuat," kata Razlan.

Menurut beliau untuk tahun ini, bagi menampung jumlah permintaan yang tinggi, kawasan Hillstand G dibuka kembali.

"Kali terakhir kawasan tempat menonton itu dibuka ialah pada 1999. Untuk tahun ini, kawasan itu menempatkan kira-kira 10,000 penonton," katanya.

Mengenai pertukaran jadual perlumbaan, Razlan berkata pada awalnya semua pasukan yang terlibat juga marah dengan keputusan yang diambil oleh pihak Dorna (pemilik penganjuran MotoGP).

"Mereka membuat keputusan itu berdasarkan laporan kajian cuaca yang mengatakan akan hujan sepanjang minggu di kawasan Litar Sepang.

"Pertukaran jadual perlumbaan yang dibuat oleh pihak penganjur selepas berbincang dengan SIC dan ia dihebahkan dengan cepat dan penonton mendapat maklumat itu walaupun ada yang terlepaspandang.

"Pada awalnya pasukan-pasukan yang terlibat juga marah dengan keputusan yang diambil oleh pihak Dorna, dilihat sebagai satu tindakan besar tetapi bila melihat kepada apa yang berlaku hari ini (semalam), mereka berpuas hati dan merasakan ianya bagus untuk buat pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Razlan keputusan muktamad mengenai penetapan jadual musim akan datang belum dibuat lagi walaupun mendapat reaksi yang positif.