DJIBRIL Sidibe menolak untuk membuat perpindahan ke Arsenal kerana bimbang tidak akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Stadium Emirates.

Sidibe, sebaliknya, membuat keputusan untuk menyertai Monaco dari Lille dengan perjanjian lima tahun, dan menyaksikan jurulatih Arsenal, Arsene Wenger, terpaksa beralih untuk mencari sasaran lain.

Pemain serba boleh berusia 24 tahun itu memberitahu France Football: "Monaco adalah sebuah kelab Perancis yang hebat. Daripada prespektif bola sepak, cita-cita mereka di Eropah, dan penyertaan dalam Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang cukup menarik.

"Saya memerlukan sebuah pasukan yang boleh membantu saya untuk menggilap lagi kualiti sebagai pemain bola sepak yang saya ada walaupun saya telah mendapatkannya ketika di Lille lagi," ujarnya.

Tambah Sidibe, dia sudah lama memikirkan untuk beraksi bersama Arsenal, tetapi menyedari mempunyai masa yang terhad untuk bermain.

"Saya hanya akan bermain dalam 15 ke 20 perlawanan.

"Walaupun mereka tidak menyatakannya secara rasmi kepada saya, tetapi saya sudah memikirkan mengenai barisan pemain yang mereka ada. Ia boleh dikatakan yang terbaik dan pastinya akan berlaku persaingan sengit untuk merebut tempat.

"Beraksi di England juga merupakan satu risiko. Ramai pemain muda yang berhijrah ke sana tanpa kemahiran yang diperlukan," ujarnya.

Bagi Sidibe, dia mahu diberikan masa setahun atau dua tahun untuk beraksi dalam Ligue 1 demi menimba seberapa banyak pengalaman yang mampu, sebelum memikirkan untuk berhijrah ke England selepas itu.