JAGUH silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, bertekad untuk memberikan aksi terbaiknya dalam Kejohanan Silat Terbuka Malaysia dari 26 hingga 29 September ini bagi membuktikan reputasinya selaku pesilat terbaik negara.

Selepas kategori Putera E tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina, November depan, jaguh negara itu juga terpaksa melupakan Kejohanan Silat Terbuka Belgium, April lalu gara-gara kecederaan bahu.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu, bagaimanapun, sudah bersedia untuk kembali mempamerkan aksi terbaiknya dalam Terbuka Malaysia.

"Saya tidak akan menyertai kejohanan terbesar, iaitu Sukan SEA, jadi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Dunia, KPI (petunjuk prestasi utama) bagi tahun ini mestilah saya memerlukan sesuatu yang menonjol (untuk ditunjukkan) kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ia bagi membuktikan bahawa saya layak untuk ke Kejohanan Dunia," katanya.

Dalam pada itu, Al Jufferi juga sedang giat terlibat dengan penganjuran Kejohanan Silat Cekak Harimau Terbuka Malaysia di Temerloh bermula esok, yang merupakan platform terbaik buat atlet pelapis negara menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

"(Ia) untuk mereka bersedia bagi menghadapi Sukma yang akan datang.

"Di sini, jurulatih dapat menilai prestasi mereka, jadi itu antara sebab-sebab (penganjuran)," tambahnya.