JURULATIH badminton perseorangan lelaki negara, Hendrawan, menganggap Datuk Lee Chong Wei, mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan mengirinya ke mana-mana kejohanan dan tidak terikat dengan hanya seorang jurulatih.

Katanya, ia harus berdasarkan keselesaan Chong Wei kerana hanya pemain berusia 35 tahun itu memahami apa kehendak dan keperluannya.

Hendrawan bakal memikul tanggungjawab menemani Chong Wei dalam Siri Super Akhir di Dubai, dari 13 hingga 17 Disember ini, selepas Tey Seu Bock selesai menggalas tugas itu dalam Siri Super Terbuka Hong Kong yang berakhir Ahad lalu.

"Chong Wei sekarang berada pada tahap terbaik. Terpulang kepada keselesaannya untuk berdamping dengan siapa (jurulatih) kerana dia lebih memahami.

"Perkara ini bukan sesuatu yang pelik atau dilarang. Apa dia rasa dan apa yang dia mahu. Dia sudah menunjukkan kapasitinya (persembahan terbaik). Sekalipun kalah, dia bermain bersungguh-sungguh," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, yang enggan juara Terbuka Hong Kong itu dianggap hanya perlu berada di samping ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek.

Katanya, Seu Bock dan Hendrawan juga memikul tugas sama dalam memenuhi keperluan Chong Wei dalam mana-mana kejohanan besar.

"Misbun sudah ada perancang terhadap pemain-pemain. Chong Wei pun sudah puas hati dengan keadaannya sekarang.

"Kami ada Hendrawan dan Seu Bock untuk menemaninya dalam kejohanan besar," katanya.