Pemain gantian, Syafiq Ahmad, muncul wira apabila menyumbang dua gol bagi membantu skuad B-22 negara menewaskan Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad kendalian Frank Bernhardt memiliki peluang untuk berada di hadapan pada minit kesembilan menerusi Dominic Tan, namun tandukannya melepasi palang gol.

Minit ke-11 menyaksikan Brunei berpeluang untuk merobek pintu gawang negara apabila Dominic Tan melakukan kesilapan ketika di kawasan penalti, namun peluang tersebut gagal untuk digunakan oleh mereka dengan sebaik-baiknya.

Peluang keemasan negara untuk mencetak gol hadir menerusi hantaran Syahmi Safari kepada Zarulizwan Mazlan, malangnya Zarulizwan gagal untuk melakukan penyudah cemerlang.

Kapten Brunei, Rosmin Khamis, mendapat peluang terbaik untuk menutup separuh masa pertama di hadapan, namun rembatannya tersasar.

Memasuki babak kedua, anak buah Bernhardt dilihat memiliki peluang terbaik untuk berada di hadapan pada minit ke-62 apabila kombinasi di antara Afif Fadzilah, Amirul Hisyam dan Arif Anwar hampir-hampir merobek gawang Brunei, bagaimanapun bola diselamatkan di atas garisan gol oleh Najib Tarif.

Minit ke-74 menyaksikan Syafiq menjaringkan gol pertama menerusi tandukannya selepas menerima hantaran Irfan Zakaria.

Syafiq sekali lagi mencatat nama selaku penjaring, juga menerusi tandukan, selepas menerima hantaran sepakan penjuru daripada Syazwan Andik.

Sebelum tamat perlawanan sebenar, pemain gantian Brunei, Adi Said, dilihat mencuba untuk mendapatkan gol sagu hati, sayangnya percubaannya gagal menemui pintu gol negara.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.