Skuad Piala Emas Raja-Raja Kuala Lumpur mencari barisan pemain berkualiti selain berazam mengulangi pencapaian sekurang-kurangnya separuh akhir seperti tahun lepas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani berkata, kerana itu satu sesi pemilihan pemain bagi edisi 2017 akan diadakan pada hujung minggu ini.

"Saya benar benar mengharapkan ramai pemain yang berkualiti untuk mencuba nasib mereka pada sesi kali ini.

"Kita mengharapkan seramai pemain yang mungkin untuk menghadiri sesi pemilihan pada kali ini kerana kami memang mahukan pemain yang berkualiti.

"Pada tahun lalu, kami berjaya melangkah ke separuh akhir, jadi pada tahun ini jika melangkah ke final ia adalah bonus," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada tahun lalu, skuad Kuala Lumpur tewas kepada Pahang yang juga juara bertahan di peringkat separuh akhir. Kata Ramlan yang baharu memegang jawatan presiden tahun ini, sesi pemilihan akan berjalan selama dua hari di padang D Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi bermula jam 3 sehingga 5 petang pada Sabtu.

"Ia kemudian diteruskan pada Ahad yang bermula dari jam 8 hingga 10 pagi juga di lokasi sama.

"Sebagai persiapan, kami akan mengadakan latihan yang lebih terperinci serta akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan.

"Begitupun, kita perlu melihat bagaimana pasukan itu dibentuk terlebih dulu," ujarnya.

Tambahnya, syarat bagi sesi pemilihan itu ialah pemain mestilah di bawah umur 35 tahun dengan pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Perdana musim ini tidak dibenarkan bermain.

"Bekas pemain Liga Super dan Liga Perdana 2016 serta tahun sebelumnya dibenarkan untuk bermain," katanya.

Pusingan awal Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja akan berlangsung dari 18 sehingga 24 September ini.