KUALA LUMPUR: Penglibatan skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier perlu diteruskan, demi kelangsungan pembangunan bola sepak negara, kata Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee yang mengulas mengenai prestasi buruk skuad bimbingan Yusri Che Lah itu, turut menolak idea pembubaran pasukan berkenaan.

Namun, beliau berpendapat bahawa perancangan serta hala tuju yang mantap perlu difikirkan, bagi memastikan pelaburan jutaan ringgit terhadap pasukan yang dibentuk hasil kerjasama FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN), tidak disia-siakan begitu sahaja.

"Memang rancang hendak kekalkan, projek ini saya rasa takkan bubar tapi perancangan projek ini mungkin akan difikirkan hala tujunya bagaimana, mungkin main dalam Liga Super selepas ini.

"Kita tidak boleh ada program setahun dan bubar, ini program remaja, tidak masuk akal (dibubarkan)," katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.

Selepas sembilan perlawanan, skuad projek FAM-MSN berada di kedudukan tercorot dengan mengumpul satu mata, selepas mengalami lapan kekalahan dan mencatat satu keputusan seri.

Bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu, meminta peminat bersabar untuk melihat impak skuad berkenaan, kerana matlamat utama projek tersebut adalah menyaksikan ia kekal sehingga ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 nanti.

Katanya peminat harus memberi ruang dan peluang kepada pemain, kerana rata-ratanya masih 'mentah' dengan saingan liga kompetitif dan percaya mereka mampu bangkit membuat kejutan pada pusingan kedua Liga Premier kelak.

"Moral pemain agak negatif selepas mengalami kekalahan demi kekalahan, namun kita perlu beri bimbingan dan pendedahan. Mereka masih lagi baharu dalam liga, pasukan lain tentu sasar layak ke Liga Super, namun tidak bagi kami buat masa sekarang.

"Kami mahu mendedahkan kepada mereka dalam saingan kompetitif, kerana orang ramai perlu faham tujuan program ini adalah kekal sehingga ke kelayakan Sukan Olimpik 2024, jika dapat dua hingga tiga orang pemain yang terpilih pun sudah baik, daripada tiada apa-apa langsung," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee difahamkan terdapat beberapa pasukan sedang berusaha memancing pemain daripada skuad berkenaan.

Katanya jika tiada sebarang pemain dipancing pasukan lain, bermakna perjalanan program ini harus difikirkan semula sama ada sesuai atau tidak beraksi di Liga Premier atau perlu ditukarkan ke pertandingan domestik yang lain.

-- BERNAMA