Malaysia mempunyai misi untuk merangkul kejuaraan pada Kejohanan Divisyen 2 Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) 2014 Bawah 19 Tahun di Manila, Filipina bermula 10 hingga 13 Dis ini, sekali gus melayakkan mereka beraksi pada Divisyen 1 pada tahun depan.

Mengumumkan senarai 25 pemain ke kejohanan itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), M. Suhaimi Zainuddin berkata skuad itu adalah yang terbaik dan bakal membawa pulang kejayaan.

Katanya 25 pemain yang dipilih ketua jurulatih Jeffrey Matheson adalah yang terbaik dan sedia mengharungi cabaran di Manila.

"Lebih 800 pemain yang hadir pada sesi pemilihan yang dilakukan di serata Malaysia dan hanya 25 sahaja dipilih untuk mewakili negara ke kejohanan itu.

"Mereka ini pemain muda yang mempunyai semangat yang tinggi dan telah bersedia dari segenap aspek untuk membawa cabaran Malaysia ke Manila," katanya pada sidang media majlis pengenalan pemain di Kelab Ragbi Cobra di sini, Selasa.

Sementara itu, Matheson berkata pasukannya optimis untuk muncul juara pada kejohanan itu, namun mengakui bakal berdepan tentangan sengit daripada pasukan lain.

"Bila anda mempunyai pemain remaja yang bersemangat dan tahap disiplin yang tinggi sebagai satu pasukan, anda sudah tentu berhasrat menjadi juara," katanya.

Selain Malaysia, tiga lagi negara yang bakal berentap pada kejohanan itu ialah pasukan tuan rumah, Filipina, Singapura dan Thailand.

Pasukan negara akan menentang pasukan Thailand pada 10 Dis dan sekiranya memenangi perlawanan itu, mereka dijadual akan bertemu sama ada Filipina atau Singapura di perlawanan akhir pada 13 Dis.