Arena skuasy sekali lagi menerima tamparan selepas sukan berkenaan gagal mendapat 'lampu hijau' dalam program Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 pada Isnin mengumumkan lima sukan utama serta 18 sukan tambahan telah diluluskan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi keputusan muktamad semasa Sesi IOC ke-129 di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos 2016.

Sukan berkenaan adalah karate, papan luncur, 'sports climbing' dan bidaan bersama besbol dan sofbol.

"Setiap satu daripada lapan persekutuan antarabangsa yang disenarai pendek menonjolkan potensi mereka untuk ditambah nilai terhadap sesuatu sukan itu dan saya ingin mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang atas usaha cemerlang mereka," kata Pengerusi Panel Program Acara Tambahan, Fujio Mitarai seperti dipetik dalam laman web rasmi Jawatankuasa Penganjur http://www.tokyo2020.jp/.

Lima sukan dipilih oleh Jawatankuasa Penganjur dan Panel Program Acara Tambahan temasya itu, melalui proses terbuka yang telah dimulakan pada Mei 2015.

Sebanyak 26 Persekutuan Antarabangsa yang diiktiraf IOC telah memohon, namun hanya lapan sukan yang disenarai pendek pada Jun 2015.

Sukan yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik 2020 Tokyo adalah karate, papan luncur, 'sports climbing', boling, skuasy, wushu dan bidaan bersama besbol dan sofbol.

Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David telah berkempen tanpa mengenal penat lelah selama beberapa tahun lepas, agar sukan berkenaan dimasukkan dalam program Sukan Olimpik.