Biarpun Malaysia sudah terkeluar daripada saingan ke final Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016, skuad negara tetap bersemangat untuk menampilkan persembahan terbaik menentang Jepun esok.

Penyerang negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berkata kekalahan 1-4 kepada Pakistan semalam bukan satu pengakhiran biarpun peluang untuk mara ke final telah tertutup.

"Saya dan rakan-rakan masih bersemangat meneruskan cabaran apabila menentang Jepun esok dan New Zealand pada Sabtu ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata walaupun Jepun baru pertama kali menyertai SOJC, skuad negara tidak boleh memandang mudah keupayaan mereka kerana lawan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

Katanya beliau dan rakan-rakan akan berusaha memperbaiki kesilapan yang dilakukan sebelum ini agar ianya tidak lagi digunakan pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

"Kami akur dengan kesilapan semalam kerana leka pada awal perlawanan dan berazam untuk memperbaikinya pada aksi seterusnya," katanya.

Sementara itu, penjaga gawang negara, Ridzwan Azmi berkata beliau dan pemain lain kecewa dengan kegagalan semalam namun ianya bukan alasan untuk mereka tidak

meneruskan perjuangan sehingga tamat kejohanan.

"Sekiranya tersenarai untuk beraksi menentang Jepun esok, saya akan lakukan yang terbaik bagi membantu pasukan," katanya.

Beliau yang pernah membantu skuad negara meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Singapura 2015 berkata Jepun bukan calang-calang pasukan kerana mempunyai kelebihan melakukan serangan balas pantas.

"Pemain Jepun rajin berlari untuk merebut pulang dan sebagai penjaga gol saya perlu berhati-hati dengan ketangkasan mereka mengatur serangan balas," katanya.

Malaysia dijadual menentang Jepun esok sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang New Zealand pada Sabtu.

-- BERNAMA