Tutup

Berita  | Sukan

Stadium moden bakal dibina bersama pejabat FAM di Putrajaya

Stadium moden bakal dibina bersama pejabat FAM di Putrajaya
HAMIDIN: Tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM, selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan, menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).
KUALA LUMPUR: Sebuah stadium bola sepak moden bakal dibina di Presint 5, Putrajaya bersama-sama ibu pejabat baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan presint itu sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Bandar Bola Sepak (Football City), yang menempatkan ibu pejabat FAM, sambil diapit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Hamidin mengetuai delegasi FAM meninjau tapak pusat latihan dan ibu pejabat baharu badan induk itu bersama-sama dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; dan barisan exco.
Beliau berkata tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM, selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan, menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tujuan utama FAM untuk membina pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia, menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Dalam lawatan itu, Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, memberi taklimat dan penerangan terperinci mengenai pembangunan bandar bola sepak di Presint 5.
Sejajar dengan hasrat PPj yang mahukan pusat latihan itu dibuka kepada kegunaan masyarakat setempat, FAM bercadang menggunakan kaedah guna sama selain menimbang kemungkinan membina taman rekreasi, untuk kegunaan penduduk setempat di Putrajaya.

"Berdasarkan tinjauan ini, FAM berpuas hati dengan susun atur serta pelan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya menerusi Datuk Fadlun.

"FAM juga mengambil kira tuntutan masyarakat setempat, selain pentingnya sebuah stadium bertaraf antarabangsa yang boleh dijadikan gelanggang perlawanan antarabangsa," kata Hamidin menerusi kenyataan di Facebook FAM.

Lawatan rasmi FAM kemudian diakhiri dengan tinjauan ke ibu pejabat AFF yang baharu.

-- BERNAMA

Tag: Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM, stadium bola sepak, sukan, presint 5, putrajaya, afc, aff


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.