Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih menunggu jawapan daripada penganjur Sukan Para ASEAN (APG) 2020 susulan laporan berita mendakwa temasya sukan itu yang dijadual berlangsung pada Oktober depan, dibatalkan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata pihaknya masih belum menerima sebarang surat daripada Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) mengenai status penganjuran temasya sukan dwitahunan itu sama ada ditunda atau dibatalkan.

"Kita hanya mengetahui melalui laporan media Filipina baru-baru ini yang menyebut temasya sukan tersebut dibatalkan atas faktor tidak mempunyai dana dan akibat penularan wabak COVID-19.

"MPM juga sudah menghubungi Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi mendapat pengesahan namun sehingga kini masih belum menerima jawapan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada sembilan keluarga di Kampung Semadong pada Sabtu.

Sumbangan itu hasil kerjasama antara beliau selaku Pengerusi Yayasan Usahawan Negara; Yayasan Hydrocephalus Negara; dan MPM menerusi program Jejak Asnaf COVID-19.

"Sekiranya APG 2020 dibatalkan ia satu kerugian bukan hanya kepada MPM malah atlet paralimpik yang banyak menghabiskan masa membuat persediaan sebelum ini," katanya.

Baru-baru ini, media Filipina melaporkan bahawa PSC membuat keputusan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini, sekali gus menarik balik peruntukan yang disediakan, termasuk untuk penganjuran edisi ke-10 APG yang sepatutnya berlangsung pada 3-9 Okt ini.

Bernama pada 26 Mac lepas melaporkan tarikh temasya sukan berkenaan mungkin disemak semula selepas Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang masing-masing dijadual pada Julai dan Ogos depan ditangguh ke 2021, kerana APSF hanya bersetuju untuk menganjurkan temasya itu selepas Sukan Paralimpik.

APG Filipina sepatutnya diadakan mulai 18 hingga 24 Jan, tetapi ditangguhkan ke 20-28 Mac ekoran isu bajet dan logistik di pihak penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi pada Oktober depan akibat wabak COVID-19.

-- BERNAMA