Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal individu di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Atlet berusia 19 tahun itu, yang sudahpun meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal serirama ketika bergandingan bersama Ng Yan Yee, mengakhiri cabaran Sukan Asia 2018 dengan meraih dua gangsa.

Layak ke pusingan akhir di tempat keempat, Dhabitah mahu memastikan kegagalan meraih pingat dalam acara 1m papan anjal semalam tidak berlaku sekali lagi pada malam ini.

Jumlah 330.75 mata yang diraih Dhabitah selepas lima terjunan sudah cukup buat dirinya meraih gangsa mengatasi pencabar terdekat dari Jepun, Sayaka Mikami.

Pingat emas dan perak dimenangi oleh penerjun China, Shi Tingmao dan Wang Han, yang mempamerkan persembahan yang luar biasa.

Ng Yan Yee yang turut beraksi dalam acara hari ini menamatkan saingan di tempat kelima (304.80 mata).