Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak bagi acara sepak takraw regu berpasukan lelaki selepas kalah 2-0 kepada juara bertahan, Thailand.

Regu pertama Malaysia, Zulkifli Abdul Razak, Noraizat Mohd Nordin (Norhaffizi Abd Razak) dan Syazreenqamar Salehan kalah straight sets 15-21, 15-21 untuk memberi mata pertama kepada Thailand.

Regu kedua Malaysia, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam memberi tentangan hebat dalam set pertama kepada regu kedua Thailand dengan mendahului 19-17 dalam set pertama.

Namun regu Thailand Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee tenang sepanjang permainan sebelum mengikat kedudukan 19-19.

Mata kemenangan set pertama Thailand diperoleh selepas hadangan dibuat Siriwat Sakha masuk ke dalam gelanggang Malaysia untuk memberi kemenangan 21-19 kepada trio Thai itu.

Walaupun Malaysia mencabar keputusan tersebut kerana berpendapat bola terkena tangan ataupun bahu Siriwat namun pengadil tetap memberikan mata kemenangan kepada Thailand selepas menyaksikan semula insiden tersebut menerusi video.

Trio Thai mendominasi permainan dalam set kedua sebelum mengesahkan pingat emas milik mereka dengan kemenangan 21-13.

Ini merupakan kejayaan ketujuh berturut-turut Thailand dalam regu berpasukan lelaki dalam Sukan Asia.