Penganjuran kejohanan sukan, Malaysia Midwest Game (MMG) 2016 dilihat usaha mengeratkan perpaduan sesama rakyat Malaysia melangkaui batas agama, kaum dan fahaman politik di luar negara.

Koordinator WeMalaysia Amerika Syarika, Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin dan Koordinator WeMalaysia - Wilayah Timur AS, Anis Abd Razak berkata, pentas sukan merupakan salah satu platform membentuk jiwa anak muda Malaysia yang kuat, cintakan negara dan semangat berpasukan yang tinggi.

"WeMalaysia AS ingin menzahirkan rasa syukur dan tahniah kepada penganjur Malaysia Midwest Game (MMG) 2016 kerana berjaya menganjurkan acara sukan yang berprestij di bumi AS.

"Dalam penganjuran MMG 2016 ini, WeMalaysia AS telah diberi peluang untuk memperkenalkan gerakan ini kepada pelajar-pelajar Malaysia," kata mereka kepada Astro AWANI di sini hari ini.

MMG 2016 diadakan di Purdue University, Indiana dan berjaya menarik penyertaan hampir 400 orang pelajar Malaysia dari seluruh AS dan juga Kanada. Antara universiti yang terlibat termasuklah dari Drake University, University of Michigan, Western Michigan University, Iowa State University.

Kata mereka, program itu bermula dari 27 hingga 29 Mei dan menyajikan pelbagai acara sukan seperti tarik tali, badminton, squash, bola sepak, futsal, rugbi, e-games dan juga permainan tradisional seperti congkak.

"WeMalaysia AS turut memberikan tajaan berbentuk wang tunai kepada penganjur sebagai tanda sokongan kepada penganjuran MMG 2016.

"Kami juga komited untuk terus bekerjasama dengan pelajar-pelajar Malaysia di AS melaui pelbagai aktiviti dan program yang boleh memberikan manfaat dan kebaikan kepada pelajar dan negara," jelas mereka.

Sebelum ini, Anis menjelaskan, pelajar Malaysia di AS sentiasa sedar keamanan sebuah negara terjamin dengan sebuah kerajaan yang cemerlang.

Ujarnya, ia asas kemakmuran sekali gus teladan yang harus diambil daripada beberapa negara luar yang bergolak kerana ketiadaan sepakat dalam kerajaan.