TIADA keistimewaan dan jaminan buat juara dunia mahupun pemenang pingat emas Sukan SEA untuk merebut tempat dalam skuad wushu negara yang akan memberi cabaran ketika Sukan SEA Kuala Lumpur membuka tirai, Ogos depan.

Ketika ini, seramai 15 pelatih Program Kita Juara sedang dipersiapkan untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

Hanya 12 atlet akan diletakkan dalam senarai akhir, justeru saingannya sengit antara atlet wushu negara bagi mencari tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan tiada kejohanan kompetitif yang akan berlangsung sebelum Ogos.

Bagi Juara Dunia 2015, Wong Weng Son, dia tidak melihat statusnya akan mendapat tiket mudah memandangkan ramai atlet sepelatih yang menunjukkan peningkatan mendadak, terutama dalam acara chanquan.

"Sebelum ini, keputusan yang saya raih juga baik, di mana saya memenangi pingat emas.

"Tahun ini, memandangkan saya diserapkan dalam Program Kita Juara, saya memang ada keyakinan untuk mendapat pingat emas," katanya.

Bagi pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar, Phon Eyin, dia juga perlu memperbaiki tekniknya jika mahu turut sama mengibarkan cabaran Malaysia pada Ogos nanti.

"Saya harap dapat emas tapi saya juga perlu melakukan aksi terbaik.

"Tahun ini, saya perlu memperbaiki teknik lompatan dan pergerakan selain gaya saya yang perlu diubah sedikit," ujarnya.

Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur nanti, sukan wushu bakal mempertandingkan 17 acara.