KETUA jurulatih tinju negara, Azmi Mohd Yunus, tidak panik berikutan seorang lagi anak buahnya, R. Indran, menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada kem kebangsaan tatkala Sukan SEA Filipina 2019 hanya berbaki enam bulan lagi.

Indran pernah mewakili Malaysia dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dan meraih gangsa dalam acara 75 kilogram middleweight.

Bagaimanapun, dia tidak dapat meneruskan komitmen bersama kem kebangsaan kerana mempunyai masalah peribadi menjelang temasya dari 30 November hingga 11 Disember depan itu.

Ketiadaan Indran itu bermakna harapan Malaysia kini digalas dua peninju lagi, iaitu penyandang juara dalam kategori 49kg lightweight, Mohd Fuad Redzuan, dan Arfiqanie Ahmad Anshori (52kg bantamweight).

"Saya tiada masalah kalau mereka mahu menarik diri. Ini kerana ramai lagi pelapis dalam skuad ini dan kami akan memilih calon terbaik untuk dipertaruhkan," katanya.

Azmi, bagaimanapun, mempunyai pelan sampingan dengan memanggil semula Khir Akyzalan Azmi.

Khir Akyzalan juga mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2017, namun dia tewas dalam suku akhir kategori light welterweight.

"Kami tidak meletakkan sebarang sasaran khusus dalam Sukan SEA 2019 tetapi kami tetap mahu menyumbangkan pingat," katanya lagi.