Pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee yakin dengan kemampuan gandingan pemain baharu dan tujuh pemain skuad Sukan SEA 2011 untuk mempertahankan gelaran pada Sukan SEA edisi ke-27 di sini.

Kejayaan merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka ke-41, September lepas adalah isyarat awal membuktikan bahawa barisan Kim Swee bersedia merebut ‘ibu segala pingat’ pada temasya itu walaupun Myanmar, selaku tuan rumah, turut menyasarkan pingat emas.

Kim Swee berkata sekiranya semua pemain dapat memberi fokus terbaik pada perlawanan menentang Brunei pada cabaran pertama peringkat kumpulan B esok maka adalah tidak mustahil bagi Malaysia untuk mengulangi kejayaan yang sama pada perlawanan berikutnya.

"Saya yakin dan percaya kemenangan pertama adalah permulaan yang mampu memberi kesan positif kepada pasukan bagi meneruskan kempen di temasya dwitahunan ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata perlawanan kedua, ketiga dan seterusnya akan menjadi lebih mudah sekiranya Malaysia mampu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan esok.

Kim Swee berkata selagi pemain mengikut perancangan awal seperi mana yang ditetapkan sebelum ini maka pasukan itu tidak perlu risau dengan cabaran yang menanti.

"Saya sentiasa ingatkan pemain agar sentiasa ikut arahan asal tidak kira pasukan mana yang menanti mereka pada perlawanan berikutnya," katanya.

Beliau berkata tidak salah jika pemain rasa risau berhadapan dengan pasukan yang kuat seperti Vietnam.

"Tahap permainan kita dan Vietnam tidak banyak beza di mana mereka turut menguna pemain yang sama sejak tiga tahun lepas namun mereka mungkin mempunyai kelebihan dari segi persefahaman antara pemain,” katanya.

Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata sekiranya Malaysia telah berjaya mara ke suku akhir pasukan yang bakal memberi cabaran kepada negara ialah pasukan Thailand dan Myanmar kerana mereka dipercayai mempunyai kekuatan tersendiri.

Kim Swee berkata beliau masih mencari-cari strategi yang sesuai diguna pakai sepanjang kempen Sukan SEA kerana perlu mengkaji banyak perkara terlebih dahulu termasuk mencari rahsia kekuatan dan kelemahan pasukan lawan terlebih dahulu.

"Saya perlu lihat beberapa perlawanan terlebih dahulu sebelum dapat menghidu apakah bentuk strategi lawan," katanya.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Vietnam, Singapura, Brunei dan Laos.

Pada aksi pembuka tirai kumpulan B semalam, Vietnam mengalahkan Brunei 7-0 manakala Singapura dan Laos terikat seri 1-1.