SUKAN SEA Kuala Lumpur 2017 berdepan risiko kelewatan menyiapkan venue pertandingan apabila Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan KL Sports City hanya akan disiapkan pada Julai tahun depan, sebulan sebelum temasya bermula.

Perkara itu nyata membimbangkan kerana venue utama di Bukit Jalil berkenaan terlalu hampir dengan upacara pembukaan acara sukan terbesar Asia Tenggara itu pada 19 Ogos depan.

Malah, beberapa acara seperti renang berirama, memanah dan sepak takraw akan bermula lebih awal.

"Kami yakin KL Spors City dijangka siap pada Julai 2017 tetapi kami telah menyediakan Pelan B sebagai langkah selamat,” kata Beng Choo.

Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA 2017 hari ini mengumumkan cadangan senarai venue pertandingan dan hotel penginapan kontinjen.

Bagi venue pertandingan, terdapat enam kategori, iaitu empat kluster, persendirian dan luar dari Lembah Klang.

Bagi acara bola sepak, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mencadangkan tujuh venue, iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Kuala Lumpur, Stadium Shah Alam, Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Stadium Arena Universiti Malaya, Stadium Universiti Putra Malaysia dan Stadium Selayang.

“Kami menjangkakan semua negara akan mengambil bahagian dalam semua acara. Kami memerlukan lima hingga enam venue kerana adanya acara bola sepak lelaki dan wanita.”

“Saya berpuas hati dengan persiapan Malaysia bagi menghadapi Sukan SEA 2017,” kata ketua kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin.

Enam lokasi penting bakal menjadi tumpuan dalam temasya itu, antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Basikal trek dijangka akan dilangsungkan Nilai, pelayaran di Pulau Langkawi dan ekuestrian endurance di Kuala Terengganu.