Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar yakin atlet negara telah meletakkan asas terbaik Sukan SEA di Singapura untuk merintis pencapaian yang lebih gemilang apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah edisi ke-29.

Malaysia membawa pulang 62 emas atau keseluruhan 184 pingat, di mana 56 peratus daripada pungutan pingat disumbangkan oleh atlet pelapis.

'Persiapan awal' ini disifatkan begitu penting dalam usaha Malaysia memburu kejuaraan keseluruhan di Kuala Lumpur 2017 seperti yang dilakukan pada Sukan SEA 2001.

"Hakikatnya penglibatan ramai atlet muda sangat memberi makna. Ia bagus untuk kita di masa akan datang, iaitu pada 2017.

"Saya rasa kita boleh teruskan dengan asas yang baik ini," ujar beliau.

Tunku Imran bagaimanapun berkata sukan yang bakal dipertandingkan nanti masih lagi dalam peringkat perbincangan.