Pelari pecut muda negara dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap melangkah ke pusingan akhir acara 100m temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, hari ini.

Juara Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh, Vietnam, Khairul Hafiz layak selepas mencatatkan 10.44 saat (s) pada separuh akhir pertama di Stadium Sarawak, di sini.

Beliau yang mencapai catatan terbaik peribadinya di Ho Chi Minh dengan 10.36s, berjanji akan melakukan yang lebih baik pada pusingan akhir petang ini.

Badrul Hisyam pula menamatkan separuh akhir ketiga dalam masa 10.64 saat dan dikejar rapat oleh peserta tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatatkan 10.65 saat dalam pusingan akhir kedua.

Turut layak ke pusingan akhir ialah Md Asy Syafi'e Md Bohari dari Brunei, Muhammad Haikal Hanafi (Negeri Sembilan), Muhammad Solihin Jamali (Wilayah Persekutuan), N. Nirosh Kumar (Perak) dan Muhammad Aqil Yasmin (Selangor).