Atlet lompat kijang kebangsaan, Noor Shahidatun Nadia Mohd Zuki mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) selepas berjaya memperbaiki catatan peribadinya dengan lompatan sejauh 13.37 meter.

Sebelum ini, wakil Kedah itu mencatatkan lompatan terbaiknya sejauh 13.8m di Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina, April lalu.

Ia juga merupakan emas keempat Sukma bagi atlet berusia 20 tahun itu, selepas meraih dua perak pada edisi 2010 di Melaka, dua emas pada edisi 2012 di Pahang dan sebutir emas dan perak pada edisi lalu di Perlis.

"Saya sangat gembira untuk mencapai personal best (catatan peribadi terbaik) hari ini. Esok saya nak cuba yang terbaik untuk melakukan personal best dalam acara lompat jauh pula.

"Saya juga berhasrat untuk menggunakan Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan untuk layak ke Sukan SEA tahun hadapan," katanya kepada pemberita di Stadium Sarawak, di sini.

Sementara itu, atlet pelapis negara, R. Kirthana dari Perak mengekori rapat Noor Shahidatun untuk memperbaiki catatan peribadinya dengan lompatan 13.31m, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala rakan sepasukannya, Nurul Ashikin Abas melakukan lompatan 12.10m untuk gangsa.

"Saya agak kecewa kerana terlepas pingat emas tetapi gembira kerana melakukan catatan peribadi terbaik. Saya sasar untuk memecahkan rekod kebangsaan (13.90m) dan pingat Sukan SEA dengan memperbaiki teknik lompatan saya," kata Krithana yang berusia 19 tahun.

Pelajar Prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu akan mengambil bahagian dalam acara lompat jauh pada hari esok bersama-sama rakan sekolah dan idolanya, Noor Shahidatun.

Sementara itu, dalam acara 3,000m lari berhalangan lelaki, adik-beradik dari Negeri Sembilan, V. Royson dan V. Devinroy masing-masing merangkul emas dan perak selepas menamatkan larian dalam masa 09:51.20 saat dan 09:51.20s.

Amirul Hakim Johari dari Selangor berpuas hati dengan gangsa selepas menamatkan larian dalam masa 09:58.48s.

Bagi acara 3,000m lari berhalangan wanita, Salesnella Gabi dari Sabah mempertahankan pingat emas selepas menamatkan larian dalam masa 11:50.13s, manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik A. Arokiasamy (12.00.11s) dari Selangor dan Nur Shafiqah Azmi (12.09.32s) dari Negeri Sembilan.