Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang masuk hari kesembilan hari ini, menyaksikan empat rekod kebangsaan lebur di tangan atlet-atlet muda negara.

Tiga daripadanya dicipta 'badang' dari Pahang, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dalam acara angkat berat kategori 85kg lelaki dan paling mencuri tumpuan, kepantasan Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 100m lelaki.

Muhamad Fazrul Azrei mencipta tiga rekod kebangsaan selepas berjaya mengangkat bebanan seberat 150kg dalam acara Snatch, disusuli dengan 176kg dalam acara Clean & Jerk.

Untuk acara Snatch, beliau mengatasi rekod terdahulu 142kg milik Khairul Anuar Mohamad dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2015.

Dalam acara Clean & Jerk pula, beliau mengatasi catatan rekod kebangsaan 175kg dan rekod Sukma milik Abdul Mubin Rahim semasa Sukma Melaka 2010.

Jumlah keseluruhan bebanan yang diangkat iaitu 326kg juga adalah rekod baharu kebangsaan, di mana beliau berjaya mengatasi rekod terdahulu 315kg, juga milik Abdul Mubin.

Bagaimanapun jumlah keseluruhan angkatan tidak menawarkan pingat pada temasya Sukma kali ini.

Setakat 11.30 malam, kontinjen Selangor terus mendahului carta pungutan pingat dengan 40 pingat emas, 48 perak dan 38 gangsa, manakala kontinjen tuan rumah di tangga kedua dengan 37 emas, 23 perak dan 35 gangsa.

Kedudukan itu dijangka berubah dengan acara silat seni yang masih berlangsung, menawarkan lapan pingat emas.

Sejumlah 43 pingat emas menjadi taruhan pada hari ke-10 esok, dengan acara olahraga menawarkan 12 pingat emas.