Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertemu jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee bagi mencari penyelesaian isu kemungkinan pasukan bola sepak negara menarik diri dari menyertai temasya Sukan Asia bulan depan.

Beliau berkata isu pelepasan pemain oleh pasukan negeri bagi mewakili negara memerlukan perbincangan teliti termasuk pandangan daripada exco sukan setiap negeri.

"Saya akan bertemu Kim Swee bagi berbincang tentang hal ini, malah saya juga dalam proses untuk berjumpa exco sukan setiap negeri.

"Kita akan panggil mereka, duduk dan berbincang bagi mencari penyelesaian bersama isu ini bagi kepentingan sukan negara," katanya pada sidang media selepas majlis Konvensyen Belia Mahir Kali Kelima Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Kim Swee dilaporkan berkata skuad B-23 berkemungkinan menarik diri daripada kejohanan di Jakarta-Palembang itu jika beliau gagal mengumpulkan pemain yang cukup untuk mengharungi kejohanan terbabit akibat keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain yang di panggil.

Aksi di Sukan Asia bermula 18 Ogos hingga 2 September itu bertembung dengan jadual Piala Malaysia.

Mengikut peraturan, setiap pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 18 pemain sebagai syarat untuk ke temasya tersebut.

Ditanya apakah tindakan segera kementerian bagi mengelak kebimbangan tersebut menjadi kenyataan, Syed Saddiq berkata perkara pertama yang harus dilakukan ialah semua pihak terbabit perlu bertemu dan berbincang.

"Berjumpa dan berdialog dahulu dengan mereka adalah lebih baik daripada mengambil tindakan segera tanpa melakukan proses itu bersama pihak berkenaan," katanya.

-- BERNAMA