Tutup

Berita  | Sukan

Syed Saddiq serah kepada PJS selesai kemelut dalaman

Syed Saddiq serah kepada PJS selesai kemelut dalaman
Syed Saddiq menegaskan pejabat menteri tidak boleh mencampuri urusan dalaman MPM. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) baharu, Prof Madya Dr Wirdawati Mohd Radzi untuk menyelesaikan beberapa kemelut yang melanda beberapa persatuan sukan kebangsaan ketika ini.

Mengambil contoh kemelut pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), beliau menegaskan pejabat menteri tidak boleh mencampuri urusan dalaman MPM, atau berdepan penggantungan daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sekiranya wujud campur tangan kerajaan.

Syed Saddiq, bagaimanapun, mendedahkan beliau telah menghantar surat kepada bekas Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin untuk menentukan cara terbaik dalam menyelesaikan kemelut pemilihan MPM yang sebelum ini ditangguhkan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult peringkat kebangsaan di Padang C, Majlis Sukan Negara, di sini, pada Sabtu.

Selain MPM, beberapa persatuan sukan kebangsaan seperti Persatuan Ragbi Berkerusi Roda, Persekutuan Hoki Ais Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Persekutuan Karate Malaysia turut dilaporkan berdepan dengan kemelut dalaman masing-masing.
Pada kejohanan itu, Kedah Warriors muncul juara selepas mengalahkan Fireball FC 1-0 pada aksi final manakala Ahmad Zamil Zakuan dari pasukan Dream Team dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan berkenaan yang melibatkan pemain bawah 12 tahun. .

Kemenangan tersebut membolehkan 15 pemain Kedah Warriors dan tujuh pemain terbaik yang dipilih juri pertandingan, mewakili Malaysia ke Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult 2019 di J-Green Sakai, Osaka, Jepun dari 14 hingga 16 Sept ini.

Sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan sehari berkenaan yang dianjurkan oleh pengeluar minuman susu kultur probiotik terkemuka, Yakult (M) Sdn Bhd.

-- BERNAMA

Tag: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pesuruhjaya Sukan, pjs, kerajaan, pemilihan, sukan, bola sepak, Majlis Paralimpik Malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.