PASUKAN T-Team masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan mereka menyenaraikan pemain import baru.

Pendahulu Liga Perdana itu difahamkan mahu menyenaraikan pemain import baru bagi mengambil tempat David Faramola Oniya untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Difahamkan, pihak pengurusan T-Team sudah menghantar surat permohonan kepada FAM pada 14 Jun lalu dan sedang menanti kata putus mengenai hasrat mereka itu.

Pemain Nigeria itu tumbang akibat serangan jantung selepas minit ketiga ketika beraksi untuk pasukannya menentang Kelantan dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Kini, mayat Oniya masih berada dan belum dituntut di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.