RASANYA tidak salah kalau Astro Gempak belum ‘move on’ dengan kemenangan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang menerusi acara keirin dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong, Khamis lalu.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian 10 tahun Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocket Man’ sekali gus merealisasikan impiannya untuk memenangi jersi pelangi yang diidaminya.

Aksi pecut luar biasa ‘The Pocket Rocket Man’ telah menjadi viral di laman sosial dan rata-rata netizen berpendapat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu seorang yang hebat dan kental kerana tidak pernah berputus asa.

Kata mereka lagi, jaguh basikal ini juga seorang optimis dan mempunyai semangat juang yang tinggi kerana tidak pernah berhenti berusaha selama berusaha 10 tahun.

Astro Gempak bersetuju dengan pendapat netizen kerana bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba luar negara yang mempunyai saiz tubuh badan lebih tinggi dan fizikal besar.

Apa yang ingin kami kongsikan kepada anda ialah, video detik-detik kemenangan Azizulhasni ketika menewaskan Fabian Hernando Puerta Zapata dari Colombia dengan 0.382 saat di belakang dan meninggalkan pelumba ranking No. 1 dunia, Tomas Babek dari Republik Czech yang menamatkan saingan di tangga ketiga (+0.417 saat).

Selain video, foto Azizulhasni tidur bersama medal dan jersi pelangi yang dimuat naik di akaun Instagramnya turut menjadi perbualan netizen dan masih dikongsikan pengguna laman sosial sehingga ke hari ini.

Kapsyen ‘Tolong jangan kejut saya bangun dari tidur’ menerima pelbagai reaksi daripada netizen, yang tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada pelumba bertubuh kecil itu.

Cuba tengok aksi jaguh basikal negara kita ni, lucukan?





Selain foto-foto di atas, Azizul turut memuat naik fotonya berkongsi kegembiraan bersama isteri tercinta, Athiah Ilyana menerusi aplikasi ‘Face Time’. Sweet!



Dalam pada itu, Azizulhasni turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sentiasa memberikan sokongan dan inspirasi untuk dia menjadi seorang atlet yang cemerlang serta contoh kepada generasi muda.