PENGURUS Manchester United Jose Mourinho tidak mahu layan cakap-cakap negatif mengenai persembahan anak buahnya pada babak kedua menentang Liverpool malam tadi.

Kata Mourinho apa yang penting The Red Devils sudah membenam musuh tradisinya itu. Tidak kisah berapa banyak gol janji tiga mata dalam tangan.

“Saya agak penat, kami ada satu lagi perlawanan pada Selasa. Saya tak kisah apa orang cakap. Yang penting pemain gembira, saya gembira,” kata pengendali kelahiran Portugal itu.

Dalam perlawanan itu United menang 2-1 dengan kedua-dua jaringan dihasilkan pada separuh masa pertama oleh ledakan kencang Marcus Rashford. Gol Liverpool pula adalah hasil jaringan sendiri Eric Baily.

Baca: Man Utd benam Liverpool dengan dua jaringan Rashford

Berdasarkan statistik, United lebih banyak bertahan dengan hanya 32 peratus penguasaan dan hanya dua percubaan tepat.

Liverpool pula yang melancarkan serangan bertali arus di babak kedua kalah kerana faktor nasib ditambah beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil.

Kemenangan di Old Trafford itu meletakkan United kekal di tangga kedua liga terpisah 13 mata daripada pendahulu Manchester City yang bakal menentang Stoke pada Isnin ini.