Tutup

Berita  | Sukan

"Tak mungkin akan terjadi" - Klopp sangkal kepulangan Coutinho ke Anfield

"Tak mungkin akan terjadi" - Klopp sangkal kepulangan Coutinho ke Anfield
Liverpool nampaknya tidak perlu berbelanja besar dengan barisan yang dimiliki sekarang. - Gambar arkib Astro AWANI
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp tidak menafikan bahawa kepulangan bekas pemainnya, Philippe Coutinho mampu membantu memperkuat pasukan.

Namun apakan daya, Klopp melihatnya sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan pada peringkat ini.

“Secara umumnya, Phil Coutinho membantu setiap pasukan dalam dunia ini - 100 peratus.

“Saya suka Phil, saya rasa dia seorang pemain yang menakjubkan, tetapi ia pasti satu perpindahan yang amat, amat, amat, amat, amat, amat, amat mahal dan ini bukan tahun untuk kami melakukannya,” katanya kepada ESPN.
Pemain Brazil itu meninggalkan The Reds untuk menyertai Barcelona pada Januari 2018 dengan yuran perpindahan 142 juta Pound, tetapi menempuh waktu sukar di sana.

Coutinho dikatakan gagal untuk menyesuaikan diri sebaiknya bersama Blaugrana dan ejennya dilaporkan cuba mencari jalan untuk membawanya keluar pada musim panas ini, untuk membolehkan kelab membiayai kepulangan rakan senegara, Neymar ke Nou Camp.
Sejak itu, perancang muda itu kuat dikaitkan dengan Liverpool, tetapi telah keluar dari mulut Klopp sendiri bahawa ianya tidak mungkin akan terjadi.

“Takkan berlaku. Seperti mana yang saya katakan, memilikinya boleh memperkuat mana-mana pasukan - termasuk kami - tetapi saya berharap dia menemui tuahnya di Barcelona.

“Jika apa yang dikatakan akhbar tentang saya adalah benar - wow! Jika ia sama dengan apa yang mereka tulis tentang saya, apa yang boleh saya katakan ialah dia cukup gembira di Barcelona dan mahu menandatangani kontrak enam tahun atau apa sahaja,” jelasnya.

Coutinho tiba di Liverpool dari Inter Milan pada 2013 dan menjadi ahli paling produktif sejak kehadiran Klopp yang mengambil alih kepimpinan pasukan pada 2015.

Dia meledak 13 gol dalam saingan liga musim 2016/2017 dan melakar tujuh jaringan pada separuh pertama musim seterusnya sebelum mengangkat kaki ke Barcelona biarpun wujud ketegangan antaranya dengan kelab selepas permintaannya untuk berpindah ditolak.

Walaupun dikatakan bergelut dengan kelab baharu, Coutinho mempamer kualitinya apabila membantu Brazil menjulang Copa America di tanah airnya.


Tag: Jurgen Klopp, Philippe Coutinho, Liverpool, The Reds, Anfield, Barcelona, Blaugrana, Nou Camp



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.