Berita  | Sukan

'Tak teringin nak sokong Manchester United'

'Tak teringin nak sokong Manchester United'
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah sudah pasti akan mendoakan kesejahteraan kepada semua daripada wujudkan perbalahan. - REUTERS/Fail
JANGAN salah faham.

Penyokong Liverpool tidak pernah benar-benar menyokong Manchester United untuk menang.

Semua kenyataan yang dibuat oleh pemain ataupun penyokong tidak boleh dibaca secara literal, sebaliknya mereka mengambil peluang ini untuk mempersenda musuh utama mereka itu.

Memang kemenangan Manchester United akan memberi kelebihan kepada Liverpool di persada Liga Perdana Inggeris (EPL), namun ia bukan penentu untuk The Reds muncul juara buat kali pertama dalam tempoh lebih 29 tahun.

[Boleh tonton kekalahan Manchester United kepada Everton di bawah ini]



Liverpool masih perlu menang baki tiga perlawanan untuk musim ini dan ironinya, kemungkinan United, seteru utama pasukan itu, akan memberi laluan kemenangan kepada mereka.

Jadi, siapa sebenarnya yang menang di antara penyokong yang masih terperangkap dalam dunia ejek-mengejek dan menyakitkan hati penyokong kelab masing-masing?
The Red Devils (Manchester United) ataupun The Reds (Liverpool)?

Penyokong The Reds mempersendakan kebolehan United untuk mengatasi Manchester City dan juga kemenangan itu membolehkan mereka memilki kelebihan secara mutlak di puncak liga.

Penyokong The Red Devils pula berkata penyokong Liverpool kini menaruh harapan penuh dan terpaksa menyokong United untuk mencerahkan peluang mereka menjulang gelaran EPL.

Nampak gayanya, tiada siapa yang akan menang dalam perbalahan ini, kerana kedua-dua pihak akan memperoleh kelebihan masing-masing.

Liverpool menewaskan Manchester United 3-1 di Anfield pada 17 Disember 2018 hasil dua jaringan Xherdan Shaqiri dan satu gol daripada Sadio Mane. - REUTERS

United akan mencerahkan peluang untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dan menebus maruah ke atas kekalahan memalukan kepada Everton.

Kemenangan juga perlu untuk mengekalkan maruah kemenangan ke atas seteru setempat di mana penyokong The Red Devils dapat mengangkat slogan Manchester is Red di media sosial bermula pagi esok.

Sementara itu, Liverpool akan mempunyai kelebihan dua atau satu mata, bergantung kepada sama ada United seri atau menang di Old Trafford awal pagi Khamis, dan jika menang baki tiga perlawanan, akan muncul juara EPL.

Kemenangan United juga boleh digunakan penyokong Liverpool untuk mempersendakan penyokong-penyokong The Red Devils itu kerana telah menghadiahkan kemenangan kepada seteru mereka.

Pemain Manchester United, Paul Pogba (kiri) dan Marcus Rashford meraikan kejayaan kemenangan ke atas West Ham, dua minggu lalu. Foto - REUTERS.

Mungkin penyokong United terlupa atau terlepas pandang, bukan pemain Liverpool sahaja yang menyatakan ‘sokongan’ mereka kepada Manchester United. Malah, bekas pengurus The Red Devils, Sir Alex Ferguson sendiri ada menyatakan bahawa Liverpool akan menang EPL musim ini kerana bekas pasukannya itu akan memperoleh sesuatu dalam Manchester derby tersebut.

Bagi penyokong United yang lebih matang dan berpengalaman, mereka tidak akan mempedulikan sama ada United memberi kelebihan kepada Liverpool ataupun tidak, yang penting pasukan itu menang untuk menjadi lebih hebat daripada pasukan biru Manchester.

Begitu juga penyokong sebenar Liverpool, yang tidak akan peduli dengan kemenangan United tetapi yang lebih penting, Liverpool perlu menang semua baki tiga perlawanan dan mengharapkan City ‘tergelincir’ dalam baki empat perlawanan mereka.

Dua kali Liverpool berada di puncak dan ada kelebihan, namun tersungkur di saat akhir dan ini perlu dielakkan dan lebih baik daripada membazir tenaga dan masa mengharapkan kemenangan United.

Perang penyokong United dan Liverpool tidak akan berakhir, masing-masing akan ‘mengorek’ semula sejarah kehebatan kelab masing-masing, terutama sekali United yang melalui musim yang lebih malang berbanding Liverpool pada musim ini.

Liverpool terus meraikan musim yang menakjubkan dan terbaik pernah dilalui mereka, namun nasib belum lagi menyebelahi mereka untuk bergelar juara liga domestik sejak 1990.

Perang mulut atau banter ini tidak akan selesai atau habis dengan begitu sahaja, walaupun pasukan masing-masing mampu menang semua empat piala dalam satu musim. Jadi, janganlah buang masa dengan isu-isu remeh ini dan ‘enjoy’ the game.

Pastikan anda menyaksikan perlawanan Manchester derby ini di Astro Supersport saluran 816 SD / 834 HD bermula 2:30 pagi Khamis.

Akhir sekali, bagi yang terlepas, saksikan bagaimana Liverpool memperoleh kemenangan hujung minggu lepas ke atas Cardiff City di bawah: