Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe hari ini mengesahkan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai jurulatih Lang Merah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Sabtu lepas.

Tan ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah menyerahkan surat berkenaan kepada pengurusan KFA dan kini masih menunggu sebarang maklum balas daripada persatuan itu.

"Saya telah serah surat tetapi masih belum ada keputusan daripada pihak tertinggi KFA dan saya masih menunggu," katanya.

BACA: Pemilihan Tan Cheng Hoe tiada unsur sabotaj - TMJ

Nama Tan yang telah membawa Kedah muncul sebagai juara Piala Malaysia pada musim lalu disebut-sebut bakal dilantik sebagai pembantu jurulatih pasukan Harimau Malaysia.

Beliau dikatakan menjadi pilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu Mario Gomez yang baharu dilantik pada 25 Mac lepas.

Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah pada tahun 2014, Kedah telah berjaya melakar kemenangan dengan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu dan pada Liga Super musim ini, Kedah berada di tangga pertama dengan 18 mata yang dikutip menerusi lapan perlawanan.

-- BERNAMA