PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tan Cheng Hoe menandatangani kontrak baharu untuk kekal sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya sehingga 31 Disember 2020.

Perkara tersebut diumum menerusi satu kenyataan media Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di laman web rasmi FAM.

Dalam kenyataan itu, persetujuan tercapai antara kedua-dua pihak pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi Selasa.

Pada masa sama, FAM menafikan dakwaan bahawa mereka melengahkan proses menandatangani kontrak baharu bersama Cheng Hoe selepas kontrak lamanya tamat pada 31 Disember tahun lepas.

Jelas Stuart dalam kenyataan itu, Cheng Hoe mengambil cuti selama lebih dua minggu selepas berakhirnya Piala Suzuki AFF 2018 pada 15 Disember dan hanya kembali pada 2 Januari 2019 untuk berjumpa dengan pengurusan tertinggi FAM bagi membincangkan kontrak baharunya.

Dalam saingan AFF tahun lepas, Cheng Hoe berjaya membimbing pasukan Harimau Malaya muncul naib juara selepas tumpas kepada Vietnam.