PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan berasa pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kini perlu menyesuaikan diri dengan tempoh singkat sebelum menghadapi tugasan antarabangsa.

Bagi Satianathan, setiap pasukan kebangsaan di seluruh dunia berdepan dengan situasi sama apabila menghadapi tugasan seperti Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Walaupun sukar, pemain kini perlu bijak dan profesional menanganinya untuk tetap memberikan aksi terbaik buat skuad negara.

"Kita harus mengharapkan pada kelab-kelab dan pasukan negeri untuk memastikan setiap pemain yang mewakili negara untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain," kata Sathia.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga berpendapat situasi kini berbeza dengan ketika dia melatih skuad negara dari 2007 hingga 2009.

Ia kerana setiap pasukan dalam saingan Liga Malaysia kini diwajibkan mempunyai jurulatih kecergasan bertauliah.

Sementara itu, Sathianathan berharap Skuad Projek 2017 kendalian Bernhardt mampu menjelmakan aksi meyakinkan dalam dua aksi persahabatan bulan ini.

"Pada perlawanan pertama ini, kita bukan akan melihat pada keputusan tetapi cara permainan mereka, kami mengharapkan rentak permainan yang berbeza," akui Sathia.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan turut menyarankan Berhardt mengenali dengan lebih dekat barisan kejurulatihannya kerana ketiga-tiga mereka adalah jurulatih tempatan berkualiti.

Bernhardt sebelum ini berhasrat mendapatkan khidmat penolong jurulatih import, namun belum ada kata putus daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Bernhardt kini dibantu Aminuddin Hussin, jurulatih penjaga gol Megat Amir Faizal Ibrahim dan jurulatih kecergasan Mashidee Sulaiman.