Berita  | Sukan

Teknik baharu senjata utama Farah Ann di Sukan Asia

Teknik baharu senjata utama Farah Ann di Sukan Asia
Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Farah Ann sekadar menduduki tangga ketujuh dalam acara individu dan keseluruhan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi akan menggunakan teknik baharu pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan, dalam usahanya memburu kedudukan lima kelompok terbaik pada temasya sukan berkenaan.

Pemenang pingat perak Kejohanan Gimnastik Piala Dunia 2016 itu berkata teknik berkenaan akan digunakan dalam acara palang bertingkat yang agak mencabar bagi dirinya.

"Darjah kesukaran teknik itu tinggi daripada apa yang saya lakukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan saya berharap dapat laksanakan teknik terbaru itu dengan bagus pada Sukan Asia nanti.

"Teknik itu saya belajar sejak tahun lepas lagi sebelum bermulanya Sukan SEA, Ogos tahun lepas tetapi hasil perbincangan dengan jurulatih (Nataliya Sinkova), beliau nasihatkan saya untuk mempertajamkan teknik berkenaan yang agak sukar untuk dikuasai tapi saya sudah bersedia sepenuhnya sekarang untuk menggunakan teknik itu," jelas Farah Ann.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ke atas skuad gimnastik negara di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Farah Ann gembira kerana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk memberi lampu hijau kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menghantar wakil pada Sukan Asia selepas rayuan badan induk itu diterima oleh MOM.

Media tempatan sebelum ini melaporkan jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai berharap MOM memberi peluang kepada MGF menghantar wakil acara berpasukan dalam Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung dari 18 Ogos sehingga 2 Sept ini.

"Saya gembira kerana rayuan kami diterima dan itu beri semangat kepada saya dan rakan sepasukan untuk beri persembahan yang terbaik pada Sukan Asia nanti," jelas anak jati Selangor itu.

Untuk rekod, Farah Ann sekadar menduduki tangga ketujuh dalam acara individu dan keseluruhan pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

-- BERNAMA