Tempoh penutupan Stadium Perak di Ipoh dilanjutkan sehingga penilaian dibuat dan kelulusan penggunaan semula stadium dikeluarkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Menurut satu kenyataan media FMLLP hari ini, satu pemeriksaan padang kali kedua yang dilakukan hari ini oleh Pegawai Pertandingan FMLLP bersama-sama wakil pasukan Perak dan PKNP FC serta pihak pengurusan Stadium Perak mendapati padang di stadium itu berada dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan dan tidak boleh digunakan sebagai venue pertandingan.

"Sehubungan dengan itu, stadium berkenaan tidak boleh digunakan sebagai venue pasukan tuan rumah (PTR) bagi pasukan Perak dan PKNP FC.

"Permukaan padang yang tidak memuaskan ini turut disahkan oleh pasukan Perak dan PKNP FC semasa pemeriksaan tersebut," kata kenyataan itu.

Justeru, FMLLP menggesa pasukan Perak dan PKNP FC menamakan dan membuat pengesahan venue PTR baharu untuk baki perlawanan Liga dan Piala Malaysia 2017 dengan kadar segera.

-- BERNAMA