RAFAEL Nadal bertarung bagi mendapatkan tempat ke perlawanan suku akhir Terbuka Australia selepas menundukkan Diego Schwartzman, sebentar tadi.

Pemain nombor satu dunia gagal berada pada tahap terbaik tetapi berjaya mencipta kemenangan 6-3, 6-7 (4-7), 6-3, 6-3 di Rod Laver Arena selepas tiga jam 51 minit perlawanan berlangsung.

Nadal mengambil masa untuk mencari rentak dalam aksi pusingan keempat berdepan wakil dari Argentina itu, Nadal berjaya meraih kemenangan pada set pertama sebelum Schwartzman bangkit menyamakan kedudukan dalam set kedua.

Bagaimanapun, pemenang grand slam 16 kali itu mara ke suku akhir di Melbourne buat kali ke-10, meraih kemenangan 6-3 dalam dua set yang terakhir.

Wakil Croatia, Marin Cilic, bakal menjadi penghalang seterusnya dalam misi untuk mengejar gelaran pertama buat tahun 2018.