STATUS Rafael Nadal selaku raja tanah liat tidak mampu dicabar pemenang 20 gelaran Grand Slam, Roger Federer, dengan jaguh dari Sepanyol itu menyingkirkan seteru utamanya itu menerusi kemenangan straight set dalam Grand Slam Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Juara bertahan, Nadal, yang juga merupakan pemain paling berjaya sepanjang zaman dalam kejohanan tersebut, kekal di landasan tepat untuk merakamkan kejuaraan ke-12 selepas cemerlang mengatasi Federer 6-3, 6-4, 6-2 dalam pertemuan ke-39 di antara mereka.

Angin yang bertiup kencang di Rolland Garros bukanlah halangan buat Nadal dan kebolehannya yang cepat menyesuaikan diri menjadi pencetus kemenangannya yang tidak pernah tewas dalam separuh akhir dan final di sana.

Federer yang kembali beraksi di gelanggang itu buat pertama kali sejak 2015 sebaliknya kelihatan bergelut dan dipaksa berhempas-pulas sepanjang aksi.

Hakikatnya, pertembungan epik yang diharap-harapkan tidak kesampaian apabila Nadal dengan mudah memusnahkan impian Federer untuk mengucup trofi Terbuka Perancis buat kali kedua, sekali gus melebarkan rekod kemenangan ke atas Federer di gelanggang keramat itu kepada enam pertemuan.

Roger Federer melambai kepada penonton ketika meninggalkan gelanggang selepas tamat perlawanan Terbuka Perancis di Stadium Roland Garros, Paris, 7 Jun, 2019. REUTERS