NAMAKAN pemain bola sepak yang tidak dibenci oleh sesiapa pun.

Tiada.

Pemenang Ballon D’Or terbanyak dalam sejarah iaitu lima kali, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo pun ada yang tidak menggemari mereka.

Kecuali seorang, yang menari di atas padang dengan gerakan memukau bersama senyuman di wajahnya - Ronaldo de Assis Moriera atau nama yang lebih dikenali, Ronaldinho.

Ronaldinho, 37, diumumkan bersara secara profesional daripada sukan yang dicintainya.

Perkara itu dimaklumkan ejen yang juga abangnya, Roberto Assis pada Selasa, pada masa sama turut memberitahu beberapa siri acara tribut akan dibuat di beberapa lokasi seluruh dunia.

Genius - satu perkataan yang paling sesuai menggambarkan permainannya. Pantas, licik, sentiasa mengejutkan lawan mahupun penonton dengan helah yang pelbagai secara bersahaja, seolah-olah tiada tekanan yang menganggu fikirannya.

Lahir pada 21 March 1980, Ronaldinho mula mendapat tumpuan media apabila pasukan sekolahnya menang 23-0, kesemua gol dijaringkannya ketika berusia 13 tahun.

Dia memulakan karier seniornya bersama Gremio pada 1998, kemudian meninggalkan tanah air untuk ke Paris Saint-German sebelum memikat dan akhirnya dibeli Barcelona pada 2003.

Bersama kelab Catalan itu, Ronaldinho mewarnai permainan demi permainan dan persembahan yang dianggap sebagai yang terbaik kariernya. Pada era bola sepak dihiasi bintang seperti Zinedine Zidane, Luis Figo, Thierry Henry, Paolo Maldini dan Steven Gerrard, dia berada di puncak dunia ketika itu.

Ronaldinho di puncak dunia ketika era kariernya bersama Barcelona. - Gambar REUTERS

Tiada siapa mungkin dapat melupakan detik bersejarah di mana seluruh penyokong Real Madrid di Santiago Bernabeu berdiri hormat kepadanya pada satu malam November 2005, cukup sebagai kenyataan bahawa pemain kelahiran Porto Alegre ini ciptaan Tuhan terunik dalam bola sepak.

Hanya dia dan Maradona yang pernah menerima penghormatan sedemikian Bernabeu, dan Messi, yang memenangi lebih banyak gelaran serta anugerah peribadi masih lagi menanti detik itu.

Ketika dunia berdebat hebat antara siapa yang lebih unggul, Messi atau Ronaldo, Ronaldinho gah di tengah garisan pemisah itu. Dia bukan untuk ditandingi, dia tidak terdorong untuk menjadi yang terhebat - dia hanya mahu berseronok dengan bola di kakinya.

Selepas lima tahun merajai Nou Camp dan membawa dua kejuaraan La Liga serta satu Liga Juara-Juara Eropah, Ronaldinho beralih angin ke Itali bersama AC Milan dan membantu mereka memenangi Serie A pada 2010/2011.

Puas menakluk dunia dari Eropah, dia kembali ke Brazil untuk menyertai Flamengo pada musim berikutnya, sebelum bersama Atletico Mineiro, Queretaro di Mexico dan Fluminense.

Bersama Ronaldo, Rivaldo, Roberto Carlos membentuk generasi emas Brazil yang menjulang Piala Dunia kelima buat negara itu. - Gambar REUTERS

Dia juga menikmati khidmatnya kepada pasukan kebangsaan seawal usia remaja dengan menjuarai Kejohanan Dunia bawah-17, kemudian bersama Ronaldo, Rivaldo, Roberto Carlos dan Cafu dalam generasi emas Brazil menjulang Piala Dunia kelima mereka pada 2002, selain Copa America pada 1999, Piala Konfederasi pada 2005.

Dia pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali, pada 2004 dan 2005, sekali Ballon d'Or pada 2005 serta deretan lagi gelaran peribadi sepanjang 20 tahun karier profesionalnya. Tidaklah sebanyak Ronaldo dan Messi, tetapi keunggulannya tidak diukur dengan itu.

Tidak mungkin akan ada pemain akan datang seunik Ronaldinho. Dia membawa sesuatu yang cukup indah dalam bola sepak, ‘Joga Bonito’ yang bererti bermain dengan cantik dalam bahasa Portugis menjadi legasinya yang tidak akan mati sampai bila-bila.

Muito obrigado, Ronaldinho! Terima kasih atas segala ceria, tawa dan permainan luar biasa yang kau bawa.