AURA juara yang dipamerkan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam Siri Terjun Dunia FINA di Montreal, Kanada, minggu lalu gagal diteruskan apabila sekadar menamatkan saingan final 10m platform seirama pusingan keempat di tempat ketiga di Kazan, Russia, hari ini.

Bertekad mahu mencipta impak selaku pasangan seirama terbaik dunia, Pandelela dan Jun Hoong konsisten seawal terjunan pertama.

Momentum sama berjaya dikekalkan sehingga terjunan keempat biarpun diberi saingan rapat penerjun China, Lin Shan dan Si Yajie, serta gandingan Korea Utara, Kim Mi Rae dan Kim Kuk Hyang.

Bagaimanapun, sedikit kesilapan dalam terjunan terakhir menyebabkan Pandelela dan Jun Hoong yang mengumpul 318.54 mata, dipintas pasangan Korea Utara itu dengan kelebihan 2.04 mata untuk akur meraih gangsa sementara pasangan China, Lin Shan-Si Yajie meraih emas dengan 324.24 mata.