Kekalahan di tangan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu menyaksikan penyerang Arsenal, Mesut Ozil menggunakan media sosial bagi meluahkan rasa kurang senang dan kecewa.

Ozil meluahkan rasa kecewa di Twitter apabila melepaskan beberapa peluang berharga sekali gus menjarakkan lagi kedudukan dengan pendahulu liga.

"Kami bermain dengan baik malah menguasai perlawanan tersebut tetapi melepaskan begitu banyak peluang.

"Gol ketiga United memusnahkan harapan kami tetapi perlawanan harus diteruskan. Terima kasih atas sokongan kepada semua peminat The Gunners," katanya.

Pemain kebangsaan Jerman itu diturunkan ketika Arsenal tewas 1-3 kepada United yang menyaksikan pasukan itu ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Masa depan Ozil bersama Arsenal juga masih menjadi tanda tanya selepas dikatakan enggan memperbaharui kontrak malah kini dikaitkan dengan perpindahan secara percuma ke United.